Monday 6 April 2009

Science & Islam: A History

Buku sedang beraksi

Tajuk: Science and Islam: A History
Pengarang: Ehsan Masood
Penerbit: Icon Books Ltd (8 Jan 2009)
Mukasurat: 256 - Hardcover
Genre: Bukan fiksyen-Sejarah dan Budaya

Semasa Eropah berada dalam zaman kegelapan, kerajaan Islam Bani Abbasiyyah, Fatimiyyah di sebelah timur pula berkembangan maju hasil usaha ilmuan dan saintis mempelajari teknologi daripada tamadun purba, seterusnya meneruskan kajian sendiri tentang ilmu tersebut. Buku-buku yang dihasilkan oleh mereka kemudiannya dibawa ke Eropah, diterjemahkan dan dijadikan rujukan dalam bidang masing-masing di universiti di Eropah.

Walau bagaimanapun, kupasan maklumat tentang ilmu-ilmu yang menjadi penyambung antara tamadun-tamadun purba dengan Eropah moden sangat umum, hanya beberapa bidang tertentu yang dikupas iaitu perubatan, kimia, astronomi, optik dan matematik. Tiada maklumat lanjut tentang jurutera berbangsa Turki yang telah mencipta crankshaft, sedangkan pada aku maklumat ni sesuatu yang baru berbanding kitab al-Qanun fil-Tib oleh Ibnu Sina. Pengarang ada menyebut tentang buku karya Coppernicus yang menunjukkan dia ada merujuk kepada saintis muslim dalam membangunkan teori astronominya, tapi tak dijelaskan sejauh mana rujukan tersebut digunakan oleh Coppernicus. Mungkin sebab buku ni bersiri dengan dokumentari yang disiarkan oleh BBC dulu dengan menggunakan tajuk yang sama, fakta yang dipaparkan dalam dokumentari tidak dicerita dengan lanjut dalam buku.

Banyak jugak fakta dalam buku ni yang baru aku tau. Contohnya, Hunayn Ibn Ishak yang disebut-sebut sebagai salah seorang pakar dalam bidang perubatan rupanya bukanlah seorang Muslim. Bukan pa, masa belajar Sejarah Peradaban Dunia masa tingkatan 4 dulu, kalau tak silap aku saintis-saintis ni disebut sebagai saintis Islam.

Satu lagi fakta yang menarik adalah tentang terjemahan Science and Islam dalam bahasa Arab adalah al ilmu wal islam - Ilmu dan Islam. Menurut pengarang, science adalah daripada scienta, perkataan Latin yang hanya digunakan pada kurun belasan, sedangkan bidang sains tu sendiri dah lama diteroka, dalam bahasa Arab hanya diberi istilah al ilmu pada masa tu. Jadi, istilah tu tetap digunakan sampai hari ni. Hebat sungguh..

Model untuk memajukan ilmu dan teknologi semasa pemerintahan Abbasiyyah dan kerajaan lain pada zaman kegemilangan dulu pun wajar dijadikan contoh kalau kita nak memajukan negara kita. Model ni aku rasa dipakai oleh negara yang mempunyai pola penduduk yang pelbagai. Bahasa Arab dijadikan bahasa rasmi dan kerajaan sendiri menggalakkan usaha penterjemahan buku-buku daripada bahasa asing kepada bahasa Arab. Banyaklah buku-buku daripada Yunani, India, Cina, Mesir dan tamadun purba lain diterjemahkan ke Bahasa Arab dan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat kebanyakan mempelajari ilmu. Lepas tu buku-buku yang dihasilkan pulak diterjemahkan ke bahasa Latin yang merupakan bahasa intelektual di Eropah dan menjadi rujukan utama bidang masing-masing. Cumanya sikap kebanyakan bangsa Eropah ni bila depa maju, selalunya depa akan cuba menonjolkan kelebihan dan kekuatan depa dan melupakan jasa orang yang tak sewaktu dengan depa (ini hasil kajian Prof Saliba, aku tak baca lagi bukunya tapi dia antara ahli sejarah yang ditemuramah oleh Prof Jim al-Khalili). Kita pulak dok baca la zaman Rennaissance di Eropah tu macam tiba-tiba saja melompat ke Rennaissance dengan ada missing link seolah-olah tiba-tiba saja depa dapat wahyu kan. Baru la ni depa tau rupanya orang di Timur Tengah rupanya lebih awal bertamadun daripada Eropah.

Bab-bab akhir buku ni pulak cerita pasal kejatuhan zaman kegemilangan kerajaan-kerajaan Islam, banyaknya sebab perang la. Bila dah kaya-raya, mula la leka ngan kehebatan masing-masing. Pakat gila kuasa. Pastu bila ada serangan luar terus kalah. Tapi masih ada sorang dua saintis yang berjaya dapatkan sokongan pemerintah baru untuk meneruskan penyelidikan. Biasalah, semua raja nak gunakan kecanggihan bagi mengukuhkan kuasa masing-masing.

Lepas baca buku ni terasa bersalah sebab terasa dah masuk usia remaja bangka pun tak banyak sumbangan yang dibuat. Ya la, Ibnu Sina jadi doktor masa belasan tahun, aku dah dekat dua kali ganda umur dia pun masih merangkak-rangkak nak menulis satu thesis.

No comments: