Saturday 3 November 2007

Zahrah de Tigris



Tajuk: Zahrah de Tigris
Pengarang: Khairyn Othman
Penerbit: Jemari Seni Publishing;Cetakan pertama, 2007
Mukasurat: 501
Genre: Fiksyen


Cerita ini cerita cinta sebenarnya. Cinta kepada manusia dan kemanusiaan dalam diri Khairunnisa yang terperangkap dalam pergolakan perang di Iraq. Cinta yang mendorong Nisa memilih untuk membantu warga Acheh membangunkan semula wilayah yang musnah selepas bencana tsunami selepas kembali dari Iraq. Nisa seorang yang kuat semangat, berdikari, tegas tetapi amat penyayang. Satu watak yang mewakili wanita Malaysia moden. Peribadi Nisa mungkin juga terbentuk daripada disiplin kewartawanannya sebelum melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Glasgow. Berada di Glasgow mendedahkan mengenalkan Nisa kepada aktivis-aktivis hak asasi manusia dan anti perang secara global. Nisa degil dan sentiasa membuat keputusan mengikut pertimbangan sendiri tetapi kerap tersepit antara tindakan yang diambil dan penerimaan ahli keluarganya.

Pemergian Nisa ke Iraq pada awalnya adalah kerana tawaran gaji yang lumayan untuk berkhidmat sebagai guru kepada anak-anak mangsa perang dengan sebuah yayasan yang dibiayai sepenuhnya oleh hartawan Kuwait. Dengan wang yang bakal dikumpul, dia sangat berharap untuk menaikkan taraf kehidupan sendiri dan juga keluarganya. Jadi sebenarnya keputusan Nisa disebalik tawaran materialistik itu adalah cinta yang mendalam kepada keluarganya dan mahu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik. Namun bagi keluarga Nisa pula, demi cinta, ahli keluarga perlu sentiasa bersatu dan menanggung susah senang bersama. Tentulah sukar bagi mana-mana ibu bapa yang tinggal di Malaysia yang aman damai menerima keputusan anak yang memilih untuk keluar dari zon selesa dan berkhidmat di bumi yang sedang bergolak. Persepsi biasa, dalam perang kematian adalah lumrah. Sedangkan hakikatnya mati menjemput kita tanpa mengira masa dan tempat, cuma dengan sebab yang berbeza.

Catatan kehidupan Nisa ditulis sendiri dalam blognya bagi meluahkan perasaan terhadap kekejaman dan ketidakadilan yang berleluasa di bumi . Rakyat Iraq juga cintakan kedamaian. Namun kerana pemimpin yang ujub dengan kehebatan diri sendiri, tamakkan kuasa dan wang dari hasil bumi Iraq, rakyat biasa lah yang menanggung akibatnya. Iraq sudah biasa bermandi darah. Dari kolonialisme, krisis Iraq-Iran, pembersihan etnik Kurdish, perang Teluk, kejatuhan Saddam sehingga penaklukan tentera bersekutu atas dasar keamanan, rakyat Iraq sebenarnya telah banyak menanggung penderitaan. Ramai yang terkorban kerana lumrahnya dalam perang amat sukar untuk membezakan rakyat biasa dengan anggota tentera, rumah, sekolah atau hospital juga disangka kubu tentera.

Perang juga membuktikan kemanusiaan adalah sejagat, tidak hanya berteraskan ras atau agama, apatah lagi sempadan wilayah. Di bumi yang bergolak, akan ada manusia yang berhati mulia sanggup meninggalkan keselesaan di tanah air sendiri, berdepan dengan risiko kematian dan dikuburkan tanpa nisan, atau menjadi tahanan pihak yang bersenjata. Nisa menjadi sukarelawan di hospital setelah sekolah tempatnya bertugas dimusnahkan. Dan Nisa berkenalan dengan ramai lagi sukarelawan asing. Ironinya, tidak ramai rakyat Malaysia yang mengaku saudara seagama dengan rakyat Iraq yang menjadi sukarelawan.

Dengan Maura, Nisa menunjukkan keikhlasan dan cintanya kepada agama dan saudaranya Iraq mendahului kepentingan diri sendiri. Dengan Dr Patrick Deveraux, Nisa perlu meyakinkan bahawa penderitaan yang mereka saksika bukanlah kerana agama dan tuhan kerana tiada agama yang menyeru penganutnya bermusuhan dan berperang dan tuhan sentiasa menyayangi hambanya. Apa yang berlaku adalah akibat kelemahan manusia mengawal nafsu, tamak dan haloba. Nisa mendapat keluarga angkat yang berfahaman syiah, dan ini membuka satu lagi ruang kepada Nisa untuk menunjukkan bahawa biar apapun fahaman, dalam Islam semua adalah bersaudara.

Selepas Mariam teman serumahnya ditangkap pemberontak dan dibunuh sebelum sempat dibawakan wang tebusan, Dr Patrick Deveraux yang membawa wang tebusan kepada pemberontak juga dikhabarkan turut terbunuh. Nisa dan Dr Patrick amat akrab, sebagai mana Patrick menyayangi Nisa, Nisa juga cintakan Patrick namun baginya cinta kepada Allah lebih utama. Agama memisahkan mereka. Jadi, perasaan itu tidak dizahirkan semasa hayat Patrick. Nisa sebenarnya sangat terasa dengan kehilangan Patrick. Jadi, kepulangan Nisa ke Malaysia sebenarnya adalah untuk mengubati hati yang kecewa walaupun memang dia dinasihatkan supaya keluar dari Iraq atas sebab keselamatan

Berada di samping keluarga tidak mampu memadamkan kenangan, Nisa kemudiannya mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan membangunkan bumi Acheh. Kali ini mendapat sokongan padu keluarganya yang turut menyertai Nisa untuk merayakan Aidil Adha di sana. Di Acheh Nisa bertemu semula dengan Patrick Deveraux yang telah memeluk Islam yang pada kali ini menjadi sukarelawan dalam pendidikan. Mereka bernikah menetap di Paris kerana Patrick a.k.a Taufik bertugas di sana. Jadi cerita cinta ini berakhir dengan kegembiraan.

Bagi yang kurang mengikuti berita semasa di Iraq, banyak peristiwa yang dipaparkan dalam buku ini yang tidak dipaparkan dalam semua media. Walaupun kebanyakan watak dalam cerita ini adalah fiksyen, peristiwa-peristiwa yang diceritakan adalah yang sebenarnya berlaku. Walaupun tujuan pendudukan tentera bersekutu di Iraq dikatakan untuk menjatuhkan Saddam Hussin dan memulihkan keamanan untuk sementara sebelum tugas memerintah diserahkan kepada warga Iraq sendiri, realiti yang berlaku amat menyedihkan. Saddam telah dijatuhkan dan dihukum, pilihanraya dan pemilihan perdana menteri juga telah dibuat, namun Iraq masih bergolak. Selain menentang tentera bersekutu, rakyat Iraq turut berperang sesama sendiri akibat permusuhan ekstrimis Syiah-Sunni yang memuncak akibat dendam lama semenjak pemerintahan Saddam.

Buku ini merupakan karya pertama Khairyn yang diterbitkan, ceritanya masih sekitar tema yang amat popular dan sejagat-cinta. Pada aku buku ni ada kelainan kerana tumpuan tidak begitu diberikan kepada watak-watak dalam cerita, sebaliknya lebih kepada peristiwa yang berlaku dan kesannya. Watak-watak hanya dicipta sebagai medium penyampaian cerita. Jadi aku berpendapat mesej yang nak disampaikan adalah kemanusiaan yang hilang dan muncul dalam perang. Apabila hilang perasaan cinta dalam diri, maka peperangan akan meletus, tapi yang akan menderita akibat perang adalah mereka sebenarnya tak terlibat langsung, terutamanya kanak-kanak yang kehilangan keluarga dan cacat akibat perang. Merekalah yang menanggung trauma sebenarnya. Bagi kita di Malaysia, kalau kita ke sana sebagai sukarelawan (yang sebenarnya tak ramai pun yang sanggup), kalau berhadapan dengan keadaan genting, kita masih boleh mengambil jalan mudah pulang ke tanah air. Bagi mereka di sana, ke manakah lagi hendak melarikan diri kerana di situlah tanah air mereka. Walaupun akan mendapat perlindungan dari negara luar, takkan sama tempat sendiri.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Aku dapat complimentary copy buku ni lebih sebulan (2 bulan? ) lepas dari Khairyn sendiri. Habis dibaca dalam masa sehari tapi tak jugak siap reviewnya. Kata sorang cerdik pandai, kalau dalam masa seminggu lepas baca pun tak buat jugak ulasan maka akan terus tak jadila jawabnya. Aku adalah insan yang paling tak tau berterima kasih kalau tak bagi review atas usaha bekas teman seranjang aku ni hehehhehe