Tuesday 11 December 2007

Ricky Gervais: The Story So Far

Tajuk: Ricky Gervais: The Story So Far
Pengarang: Michael Heatley
Penerbit: Micheal O'Mara Books Limited; Cetakan Pertama, 2006
Mukasurat: 224
Genre: Biografi

Buku ni dipinjam dari Mitchell Library dengan The Gift of Rain. Dan aku tersilap. Rupanya biografi, bukannya autobiografi. Aku suka Ricky Gervais. Aku tak pernah menonton The Office ataupun Extras yang cukup popular di Britain dan sudah mempunyai khalayak sendiri di Amerika Syarikat yang didominasi oleh karya-karya Hollywood. Aku cuma pernah tertonton Ricky membuat stand up comedy masa konsert memperingati Diana tahun lepas. Ricky antara yang tidak mencari publisiti murahan atau 'glemer haram'. Ya, aku tak suka Russell Brand. Mungkin terganggu dengan imejnya sebenarnya. Tapi yang pasti aku tak suka comedian yang terjerit-jerit, bagai lawak slapstik Senario lagaknya.

Dan buku ini adalah koleksi temuramah Ricky di media cetak dan elektronik. Ada sedikit cerita tentang latar belakang keluarga, juga dipetik dari majalah. Ricky digambarkan sebagai yang merendah diri, bekerja keras dan tidak terpengaruh dengan kehidupan selebriti yang ada. Mula popular pada usia yang dikira lewat, 40 tahun melalui The Office yang merupakan hasil perahan idea Ricky dan sahabatnya Stephen Merchant. Dan, aku pun tak pasti apa lagi yang nak diceritakan kerana bagi aku tiada apa yang menarik. Hakikatnya, buku ni memang tidak memenuhi selera aku.

Monday 10 December 2007

The Gift of Rain





Tajuk: The Gift of Rain
Pengarang: Tan Twan Eng
Penerbit: Myrmidon Books Ltd; Cetakan Pertama, 2007
Mukasurat: 444
Genre: Fiksyen


Buku ini merupakan calon Man Booker Prize 2007. Tapi cuma setakat senarai panjang saja. Sebab utama aku nak baca buku ni adalah sebab pengarangnya orang Malaysia. Buku ni juga mendapat ulasan yang baik di Amazonia. Harga agak mahal, £12.99 dan saiznya besar sikit dari buku biasa. Memandangkan aku dah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak membeli buku-buku fiksyen buat masa ni, aku gunakan kemudahan pinjaman buku Mitchell Library. Buku ni dikategorikan hot spot, jadi 2 minggu sajala tempohnya. Pertama kali menggunakan kemudahan di Mitchell Library. Rasa macam pilihan buku di GoMA lebih banyak. Aku pinjam 2 buku, satu lagi biografi Ricky Gervais.

Dengan tajuk yang sebegini, aku ingatkan buku ni cerita pasal hidup di Malaysia yang mendapat taburan hujan sepanjang tahun hahahahhaha. Ntahhapahapa. Dah namanya fiksyen takkan pulak tajuknya begitu "direct to the point". Tapi tu lah, bila baca tajuknya aku memang terbayangkan hutan hujan khatulistiwa, kanopi hutan dan hujang sepanjang tahun. Hahahhahha nampak sangat minda aku dah tepu dengan fakta saja.

The Gift of Rain adalah karya sulung Tan Twan Eng. Penceritaannya adalah "flashback" kehidupan Philip Hutton kepada seorang wanita Jepun Michiko Murakami yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan mengingatkan Philip kepada Endo-san yang dikenali semasa era pra-perang dan kehidupan mereka semasa Jepun menawan Malaya. Philip adalah anak kacukan Inggeris-Cina di Pulau Pinang, sesuatu yang bukan menjadi kebanggaan pada masa tu. Philip juga berasa terpinggir dari komuniti Inggeris di Pulau Pinang dan jugak masyarakat Cina. Ibunya telah meninggal dunia dan Philip tinggal bersama ayah dan adik beradik tiri dari perkahwinan pertama ayahnya. The Gift of Rain tu sebenarnya ramalan tukang tilik tentang Philip masa dia dilahirkan. "I was born with a gift of rain" seperti cerita mula Philip kepada Michiko.

Buku ni ada 2 bahagian. Bahagian satu plotnya perlahan. Bermula dengan cerita Michiko datang ke Pulau Pinang membawa pedang Endo-san dan meminta supaya Philip bercerita tentang kehidupan Endo-san di Pulau Pinang. Philip berkenalan dengan Endo-san yang menyewa pulau milik keluarganya apabila Endo-san datang berjumpa untuk meminjam sampan daripadanya. Endo-san kemudian menawarkan Philip untuk menjadi muridnya dalam aikijitsu, yang aku rasa pada masa sekarang lebih dikenali sebagai aikido di serata dunia. Ini perlaku sebelum Perang Dunia Kedua meletus, sebelum Jepun menawan Malaya. Philip mengenali Endo-san sebagai diplomat Jepun.

Persahabatan dengan Endo-san tidak disenangi oleh masyarakat Cina setempat yang pada masa tu menerima berita bahawa sedikit demi sedikit Tanah Besar China sedang ditakluk oleh Jepun. Di Pulau Pinang, kebanyakan orang percaya bahawa Jepun tidak akan sampai ke Tanah Melayu kerana percaya dengan kekuatan pertahanan Inggeris. Philip pula sentiasa percaya bahawa Endo-san adalah cuma seorang diplomat yang ingin mengenali Pulau Pinang dan Malaya dengan lebih mendalam sehinggalah Endo-san mengaku pada satu hari Jepun akan datang ke Malaya, tapi Endo-san memberi jaminan bahawa Philip akan sentiasa dilindungi. Mula-mula hubungan Philip dengan Endo-san ni adalah murid dengan guru, tapi lama kelamaan aku rasa ada gambaran lain yang diberikan. Philip dan Endo melangkah ke satu tahap lain, aku rasa homoseksual.

Plot bahagian kedua bergerak lebih pantas. Jepun datang, Inggeris menyerah kalah. Orang Inggeris ramai lari balik kampung, termasuk juga tentera British. Masyarakat Cina yang ramai terkorban akibat kebencian Jepun terhadap China, MPAJA, Force 136, kempetai dan beberapa lagi peristiwa yang aku pernah baca dalam buku sejarah masa zaman muda remaja dulu. Rupa-rupanya dah remaja bangka aku ni hehehhehe.

Endo-san menunaikan janjinya untuk melindungi Philip semasa Jepun berada di Pulau Pinang. Satu yang Philip agak lewat menyedari adalah perlindungan yang diberi dan tawaran untuk mengajarkan aikijitsu adalah sebenarnya salah satu dari balasan terhadap 'jasa baik' Philip menunjukkan tempat-tempat menarik di Pulau Pinang dan bercerita tentang angin monsun di Kelantan yang memberi idea kepada Endo-san supaya mencadangkan tempat dan masa yang sesuai untuk Jepun mula masuk ke Malaya, iaitu dari melalui Kelantan. Untuk melindungi keluarganya, Philip bersetuju untuk bekerja dengan Jepun, yang dilihat sebagai tindakan mengkhianati negara bagi masyarakat setempat tetapi dalam masa yang sama peluang digunakan untuk menyelamatkan orang yang dicari Jepun untuk dibunuh. Satu demi satu ahli keluarganya terkorban semasa pendudukan Jepun, yang terakhir adalah ayahnya yang dihukum bagi menyelamatkan Philip yang bersalah membocorkan rahsia Jpeun kepada golongan komunis.

Perang tamat apabila Jepun menyerah kalah. Endo-san sebagai timbalan konsulat Jepun ditahan tapi berjaya melarikan diri. Philip sebagai muridnya perlu menyempurnakan tugas dalam upacara bunuh diri bagi memelihara maruah. Satu sebab mengapa Philip yang diselamatkan adalah kerana Philip perlu mengimbangi karma mereka berdua dari kehidupan sebelum ini. Dalam hidup yang sebelum ini, pada zaman shogun, Philip dan Endo-san juga merupakan pasangan homo. Tapi Endo-san telah menjalankan hukuman Maharaja kepada Philip kerana menyalurkan maklumat kepada pemberontak. Jadi supaya mereka dapat bersama dalam "reincarnation" yang selepas ini, Philip perlu manjalankan tugas ini. Tugas dilaksanakan dan Endo-san dikebumikan di pulau milik Philip. Philip kemudiannya terus hidup bersendirian menyimpan kisah pedih hidupnya sehinggalah Michiko datang membawa pedang Endo-san yang sebelum ini disangka hilang.

Dan ini merupakan satu lagi kisah cinta dan kemanusiaan. Cinta pada diri sendiri dan ingin membuktikan kekuasaan menjadikan mereka terlalu ingin menawan dan menguasai negara lain. Cinta pada tanah air membuatkan ayah Endo-san dihukum kerana membantah rancangan untuk memulakan imperialisme Jepun. Patriotik jugalah yang membuatkan ayah Philip, Noel mengambil keputusan untuk tidak menyertai gerombolan mereka yang melarikan diri pulang ke Tanah Ratu apabila Jepun mula menakluk Tanah Melayu. Ironinya, kecintaan Endo-san pada keluarganya menjadikan dia terpaksa berkhidmat dengan kerajaan Jepun dan membantu Imperialisme walaupun dia sependapat dengan ayahnya, dan kerana cinta yang mendalam semenjak kehidupan sebelumnya Philip dilindungi. Dan Philip sungguh setia, bersendirian hingga ke akhirnya selepas kehilangan Endo-san.

Selain daripada menghayati cerita sedih semasa perang (dah sah-sah la takdak cerita menggembirakan kalau pasal perang ni, banyak yang aku fikir tentang perjuangan menentang penjajahan di Malaya. Dibelek berkali-kali, aku tak jumpa satu watak pun orang melayu. Ada beberapa perkataan melayu, ada cerita pasal bagaimana Inggeris berjaya membuatkan orang Melayu Pulau Pinang terpinggir di pedalaman. Mungkin jugak sebab latar belakang tempatnya di Goergetown, Pulau Pangkor dan Kelang. Watak utama pun tak bergaul sangat dengan orang lain. Dengan Cina pun melalui amah-amah dan pemandu daripada orang Cina. Tapi ada penjual mi rebus India di Georgetown. Jadi di mana Melayu Pulau Pinang?

Dan lagi, dalam bercerita pasal penentangan terhadap Jepun, yang banyak terlibat adalah orang Cina, yang banyak menerima hukuman mati adalah Cina, manakala yang dihantar ke Burma adalah saki-baki orang puteh yang masih terkandas di Malaya semasa kedatangan Jepun. Memang ini adalah fiksyen, watak dan sebahagian peristiwa adalah rekaan semata, tapi, surely ada gak sedikit fakta yang perlu ada. Contohnya penentangan MPAJA, aku sebenarnya tercari-cari nama UMNO sebagai penentang utama penjajah. Maklumlah, bukankah mereka mengaku mereka yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Walaupun ada yang mungkin mengatakan MPAJA berjuang kerana ingin menubuhkan negara komunis, tapi hakikatnya ia jugak yang menentang Jepun di Malaya. Force 136, tajaan British tapi ada pelbagai bangsa menyertainya. Tapi tak jumpa jugak pasal UMNO ini. Misteri sungguh. Adakah yang cuba mensabotaj fakta perjuangan ini?

Ikut fakta sejarah, ada juga Ibrahim Yaacob dan KMM yang asalnya dikatakan menyokong Jepun untuk menghalau British walaupun tak disebut dalam buku ini. Rupanya tertipu, Jepun pun sama dengan British. Semuanya ingin merampas hasil bumi dan memajukan negara sendiri. Jadi Jepun tidaklah lebih baik dan tidaklah lebih jahat dari British, sama sahaja. Bezanya, Jepun ingin semuanya mengikut cara Jepun. Sedangkan Inggeris membiarkan beberapa urusan masih terus mengikut pentadbiran sedia ada.

Oh, rupanya UMNO cuma dipertubuhkan pada 1946, bagaimana mungkin ia terlibat menentang Jepun. Dan aku rasa melayu sebelum itu amat berpuas hati kerana Inggeris tidak mengganggu urusan-urusan Melayu, sebab itulah pejuang Hidup Melayu cuma wujud apabila benggali putih cuba mewujudkan Malayan Union kerana hilang kuasa melayu. Demikianlah, kita cuma memikirkan kepentingan sendiri dan berada dalam zon selesa. Biarlah kita mundur ekonomi, janji ada kuasa(?). Walaupun hakikatnya kuasa sebenar pada masa kini adalah ekonomi. Lantas gimana? Mau disalahkan Cina kerana bertungkus lumus berniaga, atau India yang bekerja keras pada zaman dulu? Atau orang Indonesia dan Bangla yang semakin kaya di bumi Malaysia?

Saturday 3 November 2007

Zahrah de Tigris



Tajuk: Zahrah de Tigris
Pengarang: Khairyn Othman
Penerbit: Jemari Seni Publishing;Cetakan pertama, 2007
Mukasurat: 501
Genre: Fiksyen


Cerita ini cerita cinta sebenarnya. Cinta kepada manusia dan kemanusiaan dalam diri Khairunnisa yang terperangkap dalam pergolakan perang di Iraq. Cinta yang mendorong Nisa memilih untuk membantu warga Acheh membangunkan semula wilayah yang musnah selepas bencana tsunami selepas kembali dari Iraq. Nisa seorang yang kuat semangat, berdikari, tegas tetapi amat penyayang. Satu watak yang mewakili wanita Malaysia moden. Peribadi Nisa mungkin juga terbentuk daripada disiplin kewartawanannya sebelum melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Glasgow. Berada di Glasgow mendedahkan mengenalkan Nisa kepada aktivis-aktivis hak asasi manusia dan anti perang secara global. Nisa degil dan sentiasa membuat keputusan mengikut pertimbangan sendiri tetapi kerap tersepit antara tindakan yang diambil dan penerimaan ahli keluarganya.

Pemergian Nisa ke Iraq pada awalnya adalah kerana tawaran gaji yang lumayan untuk berkhidmat sebagai guru kepada anak-anak mangsa perang dengan sebuah yayasan yang dibiayai sepenuhnya oleh hartawan Kuwait. Dengan wang yang bakal dikumpul, dia sangat berharap untuk menaikkan taraf kehidupan sendiri dan juga keluarganya. Jadi sebenarnya keputusan Nisa disebalik tawaran materialistik itu adalah cinta yang mendalam kepada keluarganya dan mahu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik. Namun bagi keluarga Nisa pula, demi cinta, ahli keluarga perlu sentiasa bersatu dan menanggung susah senang bersama. Tentulah sukar bagi mana-mana ibu bapa yang tinggal di Malaysia yang aman damai menerima keputusan anak yang memilih untuk keluar dari zon selesa dan berkhidmat di bumi yang sedang bergolak. Persepsi biasa, dalam perang kematian adalah lumrah. Sedangkan hakikatnya mati menjemput kita tanpa mengira masa dan tempat, cuma dengan sebab yang berbeza.

Catatan kehidupan Nisa ditulis sendiri dalam blognya bagi meluahkan perasaan terhadap kekejaman dan ketidakadilan yang berleluasa di bumi . Rakyat Iraq juga cintakan kedamaian. Namun kerana pemimpin yang ujub dengan kehebatan diri sendiri, tamakkan kuasa dan wang dari hasil bumi Iraq, rakyat biasa lah yang menanggung akibatnya. Iraq sudah biasa bermandi darah. Dari kolonialisme, krisis Iraq-Iran, pembersihan etnik Kurdish, perang Teluk, kejatuhan Saddam sehingga penaklukan tentera bersekutu atas dasar keamanan, rakyat Iraq sebenarnya telah banyak menanggung penderitaan. Ramai yang terkorban kerana lumrahnya dalam perang amat sukar untuk membezakan rakyat biasa dengan anggota tentera, rumah, sekolah atau hospital juga disangka kubu tentera.

Perang juga membuktikan kemanusiaan adalah sejagat, tidak hanya berteraskan ras atau agama, apatah lagi sempadan wilayah. Di bumi yang bergolak, akan ada manusia yang berhati mulia sanggup meninggalkan keselesaan di tanah air sendiri, berdepan dengan risiko kematian dan dikuburkan tanpa nisan, atau menjadi tahanan pihak yang bersenjata. Nisa menjadi sukarelawan di hospital setelah sekolah tempatnya bertugas dimusnahkan. Dan Nisa berkenalan dengan ramai lagi sukarelawan asing. Ironinya, tidak ramai rakyat Malaysia yang mengaku saudara seagama dengan rakyat Iraq yang menjadi sukarelawan.

Dengan Maura, Nisa menunjukkan keikhlasan dan cintanya kepada agama dan saudaranya Iraq mendahului kepentingan diri sendiri. Dengan Dr Patrick Deveraux, Nisa perlu meyakinkan bahawa penderitaan yang mereka saksika bukanlah kerana agama dan tuhan kerana tiada agama yang menyeru penganutnya bermusuhan dan berperang dan tuhan sentiasa menyayangi hambanya. Apa yang berlaku adalah akibat kelemahan manusia mengawal nafsu, tamak dan haloba. Nisa mendapat keluarga angkat yang berfahaman syiah, dan ini membuka satu lagi ruang kepada Nisa untuk menunjukkan bahawa biar apapun fahaman, dalam Islam semua adalah bersaudara.

Selepas Mariam teman serumahnya ditangkap pemberontak dan dibunuh sebelum sempat dibawakan wang tebusan, Dr Patrick Deveraux yang membawa wang tebusan kepada pemberontak juga dikhabarkan turut terbunuh. Nisa dan Dr Patrick amat akrab, sebagai mana Patrick menyayangi Nisa, Nisa juga cintakan Patrick namun baginya cinta kepada Allah lebih utama. Agama memisahkan mereka. Jadi, perasaan itu tidak dizahirkan semasa hayat Patrick. Nisa sebenarnya sangat terasa dengan kehilangan Patrick. Jadi, kepulangan Nisa ke Malaysia sebenarnya adalah untuk mengubati hati yang kecewa walaupun memang dia dinasihatkan supaya keluar dari Iraq atas sebab keselamatan

Berada di samping keluarga tidak mampu memadamkan kenangan, Nisa kemudiannya mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan membangunkan bumi Acheh. Kali ini mendapat sokongan padu keluarganya yang turut menyertai Nisa untuk merayakan Aidil Adha di sana. Di Acheh Nisa bertemu semula dengan Patrick Deveraux yang telah memeluk Islam yang pada kali ini menjadi sukarelawan dalam pendidikan. Mereka bernikah menetap di Paris kerana Patrick a.k.a Taufik bertugas di sana. Jadi cerita cinta ini berakhir dengan kegembiraan.

Bagi yang kurang mengikuti berita semasa di Iraq, banyak peristiwa yang dipaparkan dalam buku ini yang tidak dipaparkan dalam semua media. Walaupun kebanyakan watak dalam cerita ini adalah fiksyen, peristiwa-peristiwa yang diceritakan adalah yang sebenarnya berlaku. Walaupun tujuan pendudukan tentera bersekutu di Iraq dikatakan untuk menjatuhkan Saddam Hussin dan memulihkan keamanan untuk sementara sebelum tugas memerintah diserahkan kepada warga Iraq sendiri, realiti yang berlaku amat menyedihkan. Saddam telah dijatuhkan dan dihukum, pilihanraya dan pemilihan perdana menteri juga telah dibuat, namun Iraq masih bergolak. Selain menentang tentera bersekutu, rakyat Iraq turut berperang sesama sendiri akibat permusuhan ekstrimis Syiah-Sunni yang memuncak akibat dendam lama semenjak pemerintahan Saddam.

Buku ini merupakan karya pertama Khairyn yang diterbitkan, ceritanya masih sekitar tema yang amat popular dan sejagat-cinta. Pada aku buku ni ada kelainan kerana tumpuan tidak begitu diberikan kepada watak-watak dalam cerita, sebaliknya lebih kepada peristiwa yang berlaku dan kesannya. Watak-watak hanya dicipta sebagai medium penyampaian cerita. Jadi aku berpendapat mesej yang nak disampaikan adalah kemanusiaan yang hilang dan muncul dalam perang. Apabila hilang perasaan cinta dalam diri, maka peperangan akan meletus, tapi yang akan menderita akibat perang adalah mereka sebenarnya tak terlibat langsung, terutamanya kanak-kanak yang kehilangan keluarga dan cacat akibat perang. Merekalah yang menanggung trauma sebenarnya. Bagi kita di Malaysia, kalau kita ke sana sebagai sukarelawan (yang sebenarnya tak ramai pun yang sanggup), kalau berhadapan dengan keadaan genting, kita masih boleh mengambil jalan mudah pulang ke tanah air. Bagi mereka di sana, ke manakah lagi hendak melarikan diri kerana di situlah tanah air mereka. Walaupun akan mendapat perlindungan dari negara luar, takkan sama tempat sendiri.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Aku dapat complimentary copy buku ni lebih sebulan (2 bulan? ) lepas dari Khairyn sendiri. Habis dibaca dalam masa sehari tapi tak jugak siap reviewnya. Kata sorang cerdik pandai, kalau dalam masa seminggu lepas baca pun tak buat jugak ulasan maka akan terus tak jadila jawabnya. Aku adalah insan yang paling tak tau berterima kasih kalau tak bagi review atas usaha bekas teman seranjang aku ni hehehhehe

Friday 26 October 2007

Perasmian Kelab Buku

Malam semalam kat Channel 4 Richard & Judy dah rasmikan Children's Book Club, jadi aku pun nak buka book club sendiri jugak. Oprah dah ada, Richard & Judy pun dah ada jadi aku pun kena la ada jugak kan...

Blog ini hanya akan mengulas buku-buku yang telah aku baca, aku buat blog asing untuk book review sebab tak mau bercampur aduk dengan blog yang sedia ada. Ulasan pertama akan menyusul.